BERITA / INFO / SUMBER MAKLUMAT



ARKIB : 17/12/2012


Bangunkan mini estet rumpai laut

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Sabah sememangnya dikenali sebagai salah sebuah negeri yang memiliki hasil laut yang amat baik di Malaysia.

Malah, ia juga merupakan negeri utama yang mengeluarkan rumpai laut di negara ini.

Justeru, bagi meningkatkan produktiviti serta melonjakkan industri ini di peringkat antarabangsa pengukuhan serta peningkatan teknologi amat diperlukan.

Menyedari tanpa perkembangan teknologi yang bersesuaian, kemungkinan besar industri rumpai laut negara yang diterajui oleh negeri Sabah akan semakin merosot tindakan awal telah dirintis oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Justeru, baru-baru ini, institusi berkenaan telah menandatangani Perjanjian projek Estet Mini Rumpai Laut antaranya bersama 11 syarikat peneraju didalam industri tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd. Johari Baharom, perjanjian tersebut adalah untuk perlaksanaan Projek Permulaan Ke Tiga (EPP 3) di bawah Bidang Ekonomi Utama (NKEA) bagi sektor Agro Makanan.

"Perlaksanaan EPP 3 ini adalah berdasarkan kepada model pembangunan yang diterajui oleh syarikat swasta dengan sokongan teknologi yang disediakan oleh UMS.

"Pihak UMS telah menyediakan tenaga pakar dalam merumus model estet mini rumpai laut dan memulakan usaha-usaha awal untuk perlaksanaan projek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Menandatangani Perjanjian Projek Estet Mini Rumpai Laut Bersama Syarikat Peneraju di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Kejayaan pemeteraian perjanjian tersebut juga merupakan hasil usaha oleh beberapa peringkat Jawatankuasa bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

Melalui projek tersebut juga, pihaknya menyasarkan pembangunan hampir 20 buah estet mini meliputi kawasan seluas 3,000 hektar sehingga akhir tahun ini.

Tambah beliau, pihak kementerian juga telah bersetuju untuk memperluaskan skop perlaksanaan projek EPP 3 dengan mengambil kira skop bantuan kepada pengusaha sedia ada.

"Ia bagi meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran sekali gus meningkatkan kecekapan kaedah pengeluaran serta kualiti," katanya.

Buat masa kini, lebih daripada 95 peratus pengeluaran dunia bagi komoditi rumpai laut disumbang oleh negara Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) yang melibatkan Indonesia, Filipina dan Malaysia khususnya negeri Sabah.

Di Malaysia, hampir 97 peratus pengeluaran rumpai laut dikeluarkan dari daerah Semporna, manakala selebihnya dari Lahad, Datu, Kunak, Banggi dan Tawau.

Pencapaian pengeluaran 100 peratus rumpai laut negara telah dihasilkan oleh negeri Sabah yang mencatatkan pengeluaran komoditi rumpai laut kering sebanyak 20.78 ribu tan metrik yang bernilai RM62.35 juta.

Jumlah pengeluaran komoditi tersebut telah meningkat sebanyak hampir 50 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 dan terus menunjukkan peningkatan dari segi nilai pengeluaran.

Bagi tahun 2011, pengeluaran rumpai laut kering negara terus meningkat sebanyak 15 peratus kepada 23.94 ribu tan metrik dengan nilai RM66.2 juta.

Sememangnya pembangunan industri rumpai laut juga tergolong sebagai industri hiliran yang dinamik serta mampu memberikan sumbangan yang besar kepada Pendapatan Negara Kasar (KDNK).

Bagi menyokong pembangunan industri rumpai laut agar lebih dinamik, pendekatan dan konsep perlaksanaan estet mini rumpai laut yang diterajui syarikat swasta sangat disokong oleh kerajaan negeri.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Husin, terdapat dua lagi program pembangunan rumapi laut akan diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah.

"Dua program tersebut adalah Projek Pengkulturan Skala Komersial dan juga Program Menaiktaraf infrastruktur para penternak sedia ada melalui perlaksanaan pembangunan kluster," katanya.

Namun, di sebalik segala usaha yang dilaksanakan kerajaan, adalah diharapkan agar para pengusaha, pelabur, penyelidik dan individu yang berminat dapat memanfaat dan merebut peluang tersebut.

Ia bertujuan agar dapat melonjakkan lagi potensi industri rumpai laut negara.

















28 April, 2011 15:23 PM


Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara Dibina Di Tawau Tahun Depan: Noh
TAWAU, 28 April (Bernama) -- Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara bernilai RM15 juta akan dibina di Sabah bagi mengoptimumkan pengkomersilan pengeluaran rumpai laut serta industri hiliran berkaitan produk berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata institut berkenaan akan dibina di kawasan Merotai, Tawau, dan pembinaannya dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

"Pada masa ini kita menggunakan tenaga pakar seperti dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah untuk menjalankan penyelidikan berkaitan rumpai laut. Kita beri peruntukan kepada universiti ini untuk membuat kajian.

"Tetapi kalau kita sudah ada institut penyelidikan rumpai laut sendiri maka kita akan dapat menghasilkan kajian yang lebih banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Showcase Rumpai Laut Negara di sini hari ini.

Showcase Rumpai Laut itu merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara ini. Selain pameran rumpai laut dan produk yang berkaitan dengannya, program berkenaan turut diisi dengan seminar berkaitan produk itu.

Menurut Noh jika semua perancangan berjalan seperti dirancang, institut penyelidikan berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata pembinaan institut berkenaan amat relevan dengan perkembangan industri rumpai laut di samping permintaan yang kian meningkat di dalam dan luar negara.

Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan pengeluaran rumpai laut basah sebanyak 1.5 juta tan metrik dan rumpai laut kering sebanyak 150,000 tan metrik dengan anggaran nilai RM1.4 bilion pada 2020.

Beliau berkata Malaysia kini cuma mengeluarkan 200,000 tan metrik rumpai laut basah dan 20,000 tan metrik tan rumpai laut kering yang menyumbang kira-kira RM60 juta kepada pendapatan negara.

Katanya projek rumpai laut merupakan satu daripada enam projek pertanian berimpak tinggi dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan indeks pencapaiannya utamanya (KPI) telah ditetapkan oleh kerajaan.

Sehubungan itu katanya kerajaan melalui kementeriannya memberi peruntukan khas berjumlah RM69 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk membangunkan industri rumpai laut secara komersil.

Noh berkata antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan melalui projek itu termasuk projek Mini Estet Rumpai Laut yang diterajui beberapa syarikat yang dipilih kementeriannya dan pesertanya terdiri daripada golongan miskin.

Katanya setiap syarikat peneraju akan diperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan projek mini estet itu dan kini 1,200 hektar kawasan di Semporna sudah diluluskan untuk projek tersebut yang menggunakan teknologi moden serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: